Rabu, 23 Mei 2012

Perambut kejutan serap beban

Fungsi utama perambut kejutan amat mudah iaitu menyerap dan memberi tekanan ketika sambaran mengejut dan bertarung dengan ikan. Penggunaan perambut kejutan amat meluas sekarang berikutan kebanjiran penggunaan tali sulam.

Tali sulam seperti yang diketahui tidak mempunyai spring atau titik anjal. Jadi, ia tidak boleh berfungsi untuk menyerap tekanan terutama secara tiba-tiba dikenakan. Konsepnya adalah mudah seperti mana kita melihat kereta yang dipasangkan absorber dan spring.

Absober berfungsi menyerap dan spring pula akan bertindak memberi dan mengurangkan tekanan melampau terhadap absorber. Dalam perambut kejutan pula kita hanya menggunakan satu bahan iaitu perambut tangsi yang disambungkan pada tali sulam. Saiz tangsi yang kita namakan ia sebagai perambut kejutan itu harus lebih kuat daya ketahanannya daripada kekuatan tali sulam.

Sebagai contoh, jika tali sulam yang digunakan 60 paun, perambut kejutan yang disyorkan ialah 80 paun. Panjang perambut kejutan paling elok ialah 4 hingga 5 depa kerana yang panjang mampu menyerap lebih tenaga/ kejutan melampau berbanding perambut kejutan yang pendek. Perambut panjang juga dapat mengelakkan kaki jigging daripada terkena jigs. Dengan ini perambut kejutan yang digunakan akan bertindak sebagai pedoman kepada pemancing yang sedang melakukan aksi jigging supaya memperlahankan kelajuan karauan jigs atau berhenti sebaik saja ia sampai pada perambut kejutan kerana menandakan jigs sudah hampir ke permukaan.

Selain itu, perambut kejutan mengurangkan kebarangkalian kehilangan jigs atau gewang kerana keupayaannya terhadap geseran dan calar adalah jauh lebih baik dari tali sulam. Sebarang jenis tangsi boleh digunakan sebagai perambut kejutan namun disebabkan faktor kualiti dan daya ketahanan, perambut khas meluas digunakan pemancing termasuk perambut florokarbon atau tali halimunan iaitu tangsi yang dibuat khas supaya tidak jelas kelihatan di dalam air.

Jika kita menggunakan tali tangsi sebagai tali utama, perambut kejutan ini adalah sama sekali tidak perlu kerana tali tangsi sendiri akan bertindak seperti perambut kejutan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan