Rabu, 30 Mei 2012

Asam pedas melaka

Bahan-bahan ( 1 family... )

  • 3 keping ikan tenggiri (ikan lain pon boleh)
  • Bahan kisar:-
  • 3 biji bawang merah
  • 10biji cili kering
  • 1/2 in halia
  • 1 sudu teh jintan manis
  • 1 sudu teh jintan putih
  • 1/4 sudu teh lada hitam
  • 1/2 in kunyit hidup
  • 2 ulas bawang putih
  • Bahan tumis:-
  • @ 1/2 bawang besar-hiris
  • @ 1/4 sudu teh biji sawi
  • @ 1/4 sudu teh halba
  • @ 2 tangkai daun kari
  • air asam jawa secukupnya
  • air secukupnya
  • 1 biji tomato-potong2
  • 5 biji kacang bendi
  • 1 serai-diketuk
  • 1/2 bunga kantan atau daun kesum secukupnya
  • minyak masak
  • garam dan gula jika suka

Cara-cara

  1. panaskan minyak. tumis bahan tumis. masukkan bahan kisar, biar pecah minyak.
  2. masukkan air asam jawa dan air. biar mendidih, masukkan ikan dan bahan2 lain.
  3. masukkan garam dan gula, biar hingga masak. hidangkan.


 

Rabu, 23 Mei 2012

Tangkap siakap di Kelong Sungai Linggi

Jeti Memancing di Tg Agas

Teknik ikat perambut

Set Memancing

Elakkan aktiviti tepat jam 12 tengahari, malam

MENGAMALKAN doa atau membaca ayat suci al-Quran sebelum melakukan perjalanan sama ada di darat ataun di laut adalah sebaik-baik amalan untuk keselamatan dalam setiap perjalanan.
MENGAMALKAN doa atau membaca ayat suci al-Quran sebelum melakukan perjalanan sama ada di darat ataun di laut adalah sebaik-baik amalan untuk keselamatan dalam setiap perjalanan.

Namun alam apa juga amalan petua adalah ikhtiar terbaik untuk diamalkan seperti lazim yang dilakukan oleh orang lama yang mengetahui rahsia tersembunyi yang jarang-jarang diketahui oleh kita selama ini.

Sebaik-baik amalan anda tidak digalakkan melakukan sebarang perjalanan sama ada di darat dengan kenderaan atau di laut tepat pada jam 12 tengahari kerana waktu itu syaitan sedang bermaharajalela justeru bergerak pada waktu begini (tepat jam 12 tengahari) sering dikaitkan dengan masa yang bahaya.


Namun dalam apa juga kepercayaan yang dikaitkan demi menjaga keselamatan dalam perjalanan, doa kepada Allah sebaik-baik amalan yang mesti dilakukan cuma sebagai ikhtiar pertua juga memainkan peranan atas izin Allah.

Atas hakikat ini ramai rakan pancing yang mengetahui tidak melakukan waktu tepat pukul 12 tengahari sama ada siang atau malam untuk bergerak mulakan perjalanan sekalipun dalam keadaan tergesa-gesa.

Lakukan pergerakan pada waktu pukul 12.02 minit sebagai ikhtiar untuk menjamin keselamatan atas apa yang kita sudah ketahui tapi bagi anda yang sudah melakukan perjalanan sebelum itu anda boleh meneruskan perjalanan anda begitu juga bagi anda yang melepasi jam 12 tengahari boleh meneruskan perjalanan isyaAllah selamat.

Melalui pengalaman seorang pemancing yang kebetulan terlupa kerana tergesa-gesa ke lokasi pertama untuk bertemu dengan rakan pancing lain yang dijangka sudah menunggu, Kamarul meninggalkan rumahnya tepat jam 12 tengah malam.

Beliau tidak bertemu lokasi tempat rakan pancingnya menunggu, beliau berpusing jalan untuk masuk ke lorong lokasi tapi bertemu semula tempat mula beliau bergerak.

Akhirnya, beliau mengingati petua orang-orang tua dengan melaungkan azan sekuat-kuat suara beliau kemudian ditemui oleh rakan pancing yang berada tidak jauh dari tempat beliau disesatkan jalan oleh syaitan.

Justru atas peristiwa yang benar-benar berlaku pada Kamarul nyata waktu tepat jam 12 tengah malam adalah waktu tidak sesuai untuk memulakan sebarang aktiviti atau perjalanan.

Ikatan 'Paternoster' amat sesuai bagi apollo


Ikatan 'Paternoster' amat sesuai bagi apollo








Ada beberapa teknik ikatan apollo yang diguna pakai pemancing dasar. Salah satu cara yang popular ialah ikatan ‘paternoster’. Teknik ikatan ini seperti menggunakan dua utas tangsi iaitu satu perambut utama dan satu perambut anak sama ada sama atau berlainan saiz dipintal bersama seperti paparan di bawah. Perambut utama mestilah lebih panjang dari perambut anak.

1. Sediakan perambut utama dan perambut anak seperti gambar. Perambut utama mestilah empat hingga lima kali lebih panjang dari perambut anak. Perambut anak pula panjang dalam sekaki lebih. Untuk memancing ikan merah dasar perambut utama 100 paun dan perambut anak 60 hingga 80 paun.

Buat simpulan gelung serentak untuk kedua-dua perambut seperti gambar 2. Pastikan lilitan untuk perambut anak lebih kepada sebelah hujung untuk membenarkan mata kail di ikat pada proses kemudian nanti.

Ulangi proses membuat simpulan gelung sehingga 3 lilitan terbentuk. Lilitan mestilah sekata.

Kemudian tarik kedua-dua hujung lilitan ini serentak dan sekata. Tarik dengan perlahan supaya ia membentuk lilitan yang kemas dan seragam. Ulangi proses yang sama untuk mata kail kedua pula.

Hasil seperti gambar. Kita juga boleh membuat apollo umpan (6 mata kail ) dengan teknik yang sama.
Panjang perambut anak ialah sekaki dan jarak antara mata kail 1.5 kaki bagi mengelakkan ia berpintal di antara satu sama lain. Cara lumrah yang digunakan memancing ikan kerapu dan ikan merah oleh kaki pancing di laut dalam.

Perambut kejutan serap beban

Fungsi utama perambut kejutan amat mudah iaitu menyerap dan memberi tekanan ketika sambaran mengejut dan bertarung dengan ikan. Penggunaan perambut kejutan amat meluas sekarang berikutan kebanjiran penggunaan tali sulam.

Tali sulam seperti yang diketahui tidak mempunyai spring atau titik anjal. Jadi, ia tidak boleh berfungsi untuk menyerap tekanan terutama secara tiba-tiba dikenakan. Konsepnya adalah mudah seperti mana kita melihat kereta yang dipasangkan absorber dan spring.

Absober berfungsi menyerap dan spring pula akan bertindak memberi dan mengurangkan tekanan melampau terhadap absorber. Dalam perambut kejutan pula kita hanya menggunakan satu bahan iaitu perambut tangsi yang disambungkan pada tali sulam. Saiz tangsi yang kita namakan ia sebagai perambut kejutan itu harus lebih kuat daya ketahanannya daripada kekuatan tali sulam.

Sebagai contoh, jika tali sulam yang digunakan 60 paun, perambut kejutan yang disyorkan ialah 80 paun. Panjang perambut kejutan paling elok ialah 4 hingga 5 depa kerana yang panjang mampu menyerap lebih tenaga/ kejutan melampau berbanding perambut kejutan yang pendek. Perambut panjang juga dapat mengelakkan kaki jigging daripada terkena jigs. Dengan ini perambut kejutan yang digunakan akan bertindak sebagai pedoman kepada pemancing yang sedang melakukan aksi jigging supaya memperlahankan kelajuan karauan jigs atau berhenti sebaik saja ia sampai pada perambut kejutan kerana menandakan jigs sudah hampir ke permukaan.

Selain itu, perambut kejutan mengurangkan kebarangkalian kehilangan jigs atau gewang kerana keupayaannya terhadap geseran dan calar adalah jauh lebih baik dari tali sulam. Sebarang jenis tangsi boleh digunakan sebagai perambut kejutan namun disebabkan faktor kualiti dan daya ketahanan, perambut khas meluas digunakan pemancing termasuk perambut florokarbon atau tali halimunan iaitu tangsi yang dibuat khas supaya tidak jelas kelihatan di dalam air.

Jika kita menggunakan tali tangsi sebagai tali utama, perambut kejutan ini adalah sama sekali tidak perlu kerana tali tangsi sendiri akan bertindak seperti perambut kejutan.

Kesan tali dan perambut sama tebal

Unjuran kekuatan antara perambut dan tali utama turut berkait rapat dengan penggunaan saiz mata kail, saiz umpan, lapangan atau padang pancing dan saiz ikan buruan. Contohnya jika kita memancing ikan bulus di pantai, sudah tentu perambut 30 paun tidak sesuai kerana terlalu besar untuk mengikat mata kail kecil. Tali utama 30 paun tiada masalah. Untuk kes ini perambut kekuatan 10 paun sudah memadai digandingkan dengan tali utama 30 paun jika memancing ikan bulusi. Jika sasaran adalah pari maka perambut 30 paun lebih sesuai. Jika kekuatan seimbang digunakan antara perambut dan tali utama, kebarangkalian putus tali (jika tersangkut) adalah sama di antara kedua-duanya.

Titik paling lemah akan menjadi faktor penentu di mana tali akan putus sama ada pada ikatan, simpulan sambungan serta bahagian calar dan genting. Bagi mengelakkan risiko apabila memancing di kawasan yang mudah tersangkut maka biasanya tali utama adalah lebih kasar daripada perambut. Contoh, memancing di karang dan reba. Jika tali utama adalah 30 paun maka anda disyor menggunakan perambut 20 paun. Ini kerana jika tersangkut, perambut akan putus terlebih dulu. Jadi tali utama dan batu ladung masih selamat dan boleh digunakan berulang kali.

Kekili menegak (multiplier) jika dipadankan dengan joran mendatar (spinning) akan mengurangkan kecekapan pada kekili dan juga joran. Ini berikutan kekili menegak memerlukan joran yang mempunyai cincin yang lebih rapat berbanding kekili mendatar. Ketika joran melentur, tali atau mengena pada joran. Semakin kuat tekanan lenturan diterima, tali akan melepasi joran menjadikan joran akan melentur dalam keadaan yang tidak seimbang. Kecekapan joran akan menurun dan tidak lagi mampu menampung daya lenturan yang dikenakan.

Tali akan menyentuh joran ketika lenturan berlaku. Lenturan joran akan menjadi tidak seimbang.

Teknik pancing di lubuk berbatu

1. Jika memancing di kawasan tebing berbatu, boleh terangkan teknik yang sesuai untuk menghindari masalah sangkut?

2. Bilakah waktu sesuai memancing sama ada ketika air besar atau air mati?

3. Apakah perbezaan kuala dan muara?

JAWAPAN:
1. Memancing di tebing berbatu adalah kawasan berpotensi menjinakkan ikan. Batu atau karang di kawasan itu menjadi kegemaran ikan berlindung dan memburu mangsa. Namun begitu, karang dan batu turut mendatangkan masalah kepada pemancing lebih-lebih lagi jika kita memancing dari tebing atau pantai. Masalah sangkut adalah lumrah di kawasan sebegini lebih-lebih lagi jika memancing dasar. Ia hampir tidak dapat dielakkan sepenuhnya jika kawasan batu itu mempunyai karang dan teritip. Walaupun tiada jalan penyelesaian mutlak, pemancing boleh mengamalkan beberapa teknik bagi menewaskan ikan batu karang di dasar. Antaranya:

a) Gunakan teknik pancing apollo di mana ladung di bahagian bawah sekali. Jika tidak ingin kehilangan ikan, tangsi yang diikat pada ladung harus lebih kecil daripada perambut untuk mata kail. Oleh kerana ladung mencecah dasar, risiko untuk sangkut adalah tinggi. Jika tersangkut, pemancing masih dapat mata kail mahupun ikan kerana tali yang lebih halus akan putus terlebih dahulu apabila tersangkut.

b) Teknik tanpa pemberat. Teknik ini lebih sesuai jika kawasan berkenaan lemah arusnya atau arus menolak ke arah laut. Umpan seperti isi ikan dipasang terus hingga menutupi seluruh mata kail dan di lontar ke sasaran. Umpan ini akan mengambil masa untuk sampai ke dasar. Ketika ia menjunam, umpan mudah menjadi sasaran ikan dan pemancing perlu mengarau tali jika terdapat tanda ia disambar. Sambaran dengan teknik pancing begini biasanya berlaku pertengahan air dan kawasan di mana kadar sangkut mata kail adalah minimum.

c) Teknik menggunakan pelampung. Untuk teknik memancing dasar menggunakan pelampung, pemancing harus bijak menentukan kedalaman air setempat. Untuk teknik ini, jika umpan dapat dilabuhkan kira-kira 1 hingga 3 kaki dari dasar maka potensi ia disambar adalah tinggi. Jika terlalu rendah atau jauh ke dasar kemungkinan sangkut adalah tinggi.

Buah ara masak kegemaran ikan sungai

Biasanya buah ara tumbuh meliar di tebing sungai di kawasan kampung. Memancing ketika musim pokok ara berbuah adalah menyeronokkan kerana buahnya menjadi kegemaran pelbagai spesies ikan terutama di Sungai Perak dan Sungai Pahang. Ikan kaloi (paling mudah didapati, lampam, tongsan sisik kasar, patin, lawang dan kekadang baung turut menggemari buah ara). Ketika buah ara masak ranum masa adalah terbaik untuk memancing.

Ketika ini ikan mudah mabuk kerana memakan buah yang gugur dan masa yang sama pemancing boleh tumpang sekaki dengan meletak buah yang dicangkuk pada mata kail.

Selain itu. anda boleh membelah atau memotong buah ara yang masak ranum untuk mengeluarkan aromanya supaya senang dicangkuk satu persatu sampai panjang lebih kurang sejengkal pada perambut.

Teknik ini sangat sesuai digunakan di lubuk yang agak jauh dari pokok ara yang kebiasaannya banyak terdapat di tebing sungai sekitar daerah Perak Tengah. Musim buah ara masak antara empat dan lima kali setahun.

Setiap kali masak boleh tahan seminggu namun begitu tidak semua buah pokok ara menjadi kegilaan ikan sungai. Biasanya yang berbau wangi dan warna merah hati menjadi pilihan pemancing sekitar daerah Perak.

Cara membuat ikatan Bimini Twist




Bimini Twist digunakan oleh ramai golongan pemancing layang dan sukan kerana ketahanannya terhadap tegangan melampau yang boleh memutuskan tali apabila henjutan kuat berlaku secara tiba-tiba.

Terdapat dua kaedah ikatan Bimini Twist iaitu dengan tegangan kekili dan tegangan tangan. Asasnya sama teknik ikatan dengan bantuan tegangan kekili lebih mudah bagi yang baru mempelajarinya, manakala tegangan tangan memerlukan kemahiran dan pengalaman (rujuk gambar rajah)

Gambar 1 - Pasang kekili, setkan sistem 75% tegangan supaya tangsi tidak keluar apabila ditarik. Buat satu simpul mudah (Gambar 1b) untuk kegunaan mematikan simpulan pada akhir proses nanti.

Gambar 2 - Buat pusingan ikut jam sehingga lilitan terhasil kira-kira 30 lilitan (lop) yang kemas.

Gambar 3 - Tahan gelung lilitan dengan tapak kaki dan masukkan tangan ke dalam lop manakala hujung tali diregangkan pada sebelah tangan lagi.

Gambar 4 - Padatkan lop dengan membuka ruang lop sehingga lilitan tadi menjadi bertambah padat. Dimasa yang sama tahan agar hujung lilitan satu lagi ditegangkan menjadi lurus seperti Gambar 4b.

Gambar 5 - Kemudian padatkan lagi gelung/lop supaya hujung tangsi mula membuat lilitan kedua di atas lilitan pertama supaya ia terhasil belitan kedua ini kira-kira 5 hingga 7 lilitan (Gambar 5b).

Gambar 6 - Ambil gelung kecil yang dibuat sebelum ini (Gambar 1b) dan letakkan di bawah lilitan kedua.
Gambar 7 - Lilit kembali lilitan kedua tapi kali ini di atas gelung kecil tadi sehingga tiga atau empat pusingan. Rujuk Gambar 7b untuk paparan lebih jelas.

Gambar 8 - Tegangkan tali dan tarik keluar gelung kecil supaya hujung tali turut sama ditarik keluar dengan perlahan. Pastikan lop masih diletakkan pada tapak kaki (atau apa-apa objek yang kekal dan kuat) ditegang dengan sempurna.

Gambar 9 - Apabila hujung tali dikeluarkan, padatkan lagi dengan menarik sehingga lilitan menjadi bertambah kemas. Jangan terlalu kuat kerana ia boleh mencederakan tali. Potong hujung baki tali supaya terhasil ikatan Bimini Twist yang cantik (Gambar 9b).

Joran aksi sederhana sesuai atas jambatan



Apabila kita memancing dari kedudukan tinggi, jarak lontaran bukan ukuran sebenar. Di kawasan jambatan ikan lebih banyak meronda di kawasan tiang jambatan dan jarang berada di kawasan terbuka. Ini termasuk anak ikan bilis, beliak mata dan tamban yang turut menjadikan tiang jambatan sebagai tempat berlindung.

Sebab itu pemancing hanya perlu hulurkan pancing ke bawah jambatan di mana potensi sentapan adalah tinggi. Sekiranya kedudukan jambatan adalah tinggi, pemancing perlu kekili dan joran yang kuat untuk mengangkat ikan keluar dari air seterusnya hingga ke pemancing.

Kekili jenis multiplier adalah lebih elok kerana tali terus berada di dalam gelendung. Bagaimanapun ia bukalah satu kemestian. Kekili jenis terbuka dengan muatan tali lebih berukur lilit 0.4 milimeter dari 100 meter kira sudah layak. Pemancing perlu gunakan kekili yang ada kekuatan untuk mengkarau tali ketika beban tergantung di bawah jambatan.

Jika kekili tidak mampu mengkarau, naik tali ke atas dengan teknik manual, karau dengan tangan. Gunakan joran aksi menegah atau sederhana berat bagi membantu pemancing menaikkan ikan ke atas. Panjang joran antara 6 kaki hingga 8 kaki. Joran terlalu pendek ( 5.5 kaki ke bawah) kurang sesuai kerana pemancing akan menghadapi sedikit masalah untuk mengangkat ikan ke atas.

Tali utama pula elok guna 40 paun ke atas dengan perambut 50 paun. Perambut terlalu kecil saiznya memudahkan ikan terlepas ketika ia menggelupur semasa dinaikkan ke atas.

Banyak kes perambut halus putus apabila ikan menggelupur secara berterusan semasa proses menaikkan ikan di antara permukaan air hingga ke atas jambatan. Kecuali jika pemancing turut membawa jaring yang panjang untuk digunakan sebagai penyauk ikan. Kalau berhajat memancing di kawasan tiang jambatan yang banyak teritip kawasan sememangnya banyak ikan, menggunakan tali tangsi lebih baik berbanding tali sulam.

Kalau di luar kawasan tiang dan jauh dari tempat menyangkut (reba) tali sulam boleh di gunakan. Pemancing juga dinasihatkan agar menyediakan set pancing ringan untuk memancing anak ikan sebagai umpan. Gunakan mata apollo bersaiz nombor 5 atau nombor 6 bertujuan memikat anak ikan dan kalau boleh cangkut pada mata kail semasa ia masih hidup lagi. Satu lagi tips ikan biasanya lebih cenderung menerkam makanan yang berada di kawasan rangkaian makanannya.

Ingin kenal lubuk Kuala Linggi

Kalau memancing di muara, saya akan memilih ketika air besar. Ketika itu air akan pasang sebelah pagi dan sebelah petang. Waktu ini masa terbaik memancing kerana ikan bergerak rapat ke kawasan tebing muara mencari makanan. Memancing dari tebing, kita akan menghadapi kesukaran membuat lontaran jauh hingga ke tengah sungai dan seperkara lagi masalah arus yang akhirnya tetap menolak umpan hingga ke tepi.

Ketika air surut, anda boleh gunakan masa ini untuk mendapatkan bekalan umpan seperti perumpun sarang yang banyak di kawasan tebing sungai. Umpun jenis bersarang mudah ditangkap dengan hanya memotong bahagian kepala. Ia efektif digunakan di muara. Kalau memiliki kemahiran menjala, air surut memberikan peluang besar mendapatkan bekalan udang dan anak ikan dijadikan umpan memancing.

Berbalik kepada cuaca yang pasti kita tentu tidak inginkan cuaca buruk ketika memancing. Lebih-lebih lagi hujan dan ribut petir yang menghasilkan kilat. Petir atau kilat boleh menyambar joran grafit yang digunakan oleh kebanyakan kaki pancing. Oleh itu, jika guruh mula berbunyi, segera elakkan diri daripada menghampiri kawasan lapang, bawah pokok dan jangan pegang bahan yang mudah arus elektrik mengalir seperti joran grafit. Cuaca redup, sederhana dan mendung seperti awal pagi dan lewat petang adalah contoh terbaik untuk kita beriadah sambil memancing di muara sungai.